mari2 lihat!!!

Monday, December 22, 2008

Pas akan umum calon pada 1 Januari..


PAS akan hanya mengumumkan calonnya untuk bertanding dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu, pada 1 Januari depan di Stadium Negeri di Kuala Terengganu.

Pada mulanya, PAS dijangka mengumumkan nama calonnya hari ini, selepas Barisan Nasional (BN) mengumumkan semalam pemilihan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh untuk bertanding dalam pilihanraya kecil tersebut.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata
pada masa ini, parti itu telah menentukan calonnya itu, yang merupakan seorang profesional dan berjiwa rakyat, lapor Bernama.

"Kita sudah ada calon...dalam poket saya, Insya-Allah...tunggu 1 Januari depan (kita umumkan)," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat di Pusat Tarbiyah PAS Kuala Terengganu hari ini.

Beliau berkata calon PAS itu adalah individu yang mempunyai ketokohan daripada pelbagai aspek dan yakin akan dapat diterima oleh pengundi di kawasan Parlimen Kuala Terengganu.

Abdul Hadi berkata dengan pemilihan calonnya itu, PAS yakin dapat merampas kerusi parlimen berkenaan, tambahan pula kawasan tersebut merupakan antara kubu kuat parti berkenaan.

Mengenai calon PAS sama ada penduduk setempat atau Naib Presidennya, Mohamad Sabu seperti yang dicadangkan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Abdul Hadi berkata: "(Sama ada) Mat (Mohamad) Sabu, Nasharuddin atau Salahuddin...1 Januari."

Beliau juga berpuas hati dengan persiapan jentera pilihanraya PAS dan parti komponen Pakatan Rakyat dalam menghadapi pilihan raya kecil itu.

Dalam pilihanraya umum Mac lalu, calon BN Allahyarham Datuk Razali Ismail menewaskan Mohamad Sabu (PAS) dan calon Bebas, Maimun Yusuf dengan majoriti 628 undi.

0 komen yang bermakna: